Thursday, May 15, 2025
Dari Buku ke Digital: Telaga Biru Digital Perkasa Pendidikan Islam di Simposium 2023


10 Julai 2023 - Simposium Kecemerlangan Pendidikan Islam Tahun 2023 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan merupakan salah satu medan intelektual terpenting dalam kalendar pendidikan Islam negara. Bertemakan “Penghayatan Karamah Insaniah Teras Pendidikan Madani”, program ini menghimpunkan lebih 400 peserta dari seluruh negara termasuk barisan pendidik, pentadbir dan pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia. Yang paling signifikan, Telaga Biru dan Telaga Biru Digital tampil sebagai rakan strategik rasmi, mengukuhkan lagi nilai dan prestij acara ini.
Penglibatan Telaga Biru Digital dalam simposium ini bukan sekadar kehadiran simbolik. Pihak Telaga Biru Digital diberikan slot khas untuk membentangkan inisiatif dan produk pendidikan yang merupakan satu peluang untuk memperkenalkan pendekatan integrasi antara ilmu dan teknologi. Antara kekuatan utama yang menyerlah ialah kehadiran Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Fadhlina binti Sidek, yang bukan sahaja menambahkan kredibiliti acara tetapi juga membuka ruang kepada penyampaian mesej penting berkaitan masa depan pendidikan Islam negara.
Para peserta menunjukkan minat yang tinggi terhadap bahan-bahan terbitan Telaga Biru seperti Indahnya Hidup Bersyariat, Syarah Hadis 40 dan pelbagai jenis buku lainnya terbitan Telaga Biru. Lebih daripada itu, platform digital yang diperkenalkan oleh Telaga Biru Digital berjaya mencuri perhatian apabila menawarkan solusi pembelajaran yang menggabungkan bahan bercetak dengan elemen interaktif seperti video, kuiz, serta sistem pemantauan prestasi. Ini seiring dengan keperluan pengajaran abad ke-21 yang menuntut pendekatan lebih adaptif dan teknologi mesra pengguna.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memperluas capaian ilmu berkualiti, Telaga Biru Digital melalui platform pembelajaran Ilmoore turut giat mencari guru-guru Pendidikan Islam yang berminat untuk menyumbang kandungan dalam bentuk video pengajaran, nota interaktif, kuiz dan modul latihan murid. Platform ini bukan sahaja menjadi ruang dakwah dan pendidikan tetapi turut menawarkan peluang kepada guru untuk berkongsi kepakaran mereka kepada ribuan pelajar di seluruh negara.
Antara impak positif dalam simposium kali ini, iaitu enyertaan peserta dalam jumlah yang besar, kelancaran penyampaian semasa sesi pembentangan, serta edaran risalah pencarian guru yang berjaya menarik minat ramai. Beberapa peserta turut memberikan respon positif selepas sesi taklimat, menandakan keberkesanan mesej yang dibawakan. Malah, ada antara mereka yang terus mendaftar sebagai guru platform digital selepas sesi penerangan ringkas, memperlihatkan impak langsung kepada pertumbuhan komuniti pendidikan digital Islam.
Dengan kehadiran Menteri Pendidikan dalam beberapa siri simposium lain seperti di ILP Kepala Batas, KV Sungai Petani 2 dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan, Telaga Biru terus konsisten memperkukuh peranannya sebagai peneraju bahan ilmiah dan teknologi pembelajaran Islam. Semua ini membuktikan bahawa pendidikan Islam mampu bergerak seiring perubahan zaman dengan usaha bersepadu antara kerajaan, warga pendidik dan rakan strategik seperti khususnya dalam sector swasta.