Logo

Wednesday, June 11, 2025

Hi-Tea GASIS'24: llmoore Raikan Kerjasama Strategik Bersama Sekolah Islam Swasta Selangor

Suharmin Yusuf

27 November 2024 – Dalam usaha memperkukuh jaringan kolaborasi pendidikan digital, Ilmoore tampil sebagai peneraju inovasi pendidikan Islamik dengan menganjurkan Hi-Tea eksklusif bersama Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS). Program yang berlangsung meriah di GlamHall, Petaling Jaya ini menghimpunkan lebih daripada 100 guru dan wakil dari 70 buah sekolah Islam swasta sekitar Selangor, sekali gus menjadikan ia antara pertemuan strategik yang berimpak tinggi dalam kalangan institusi pendidikan Islamik swasta.

Program bertemakan "Ilmoore sebagai Alat Bantu Mengajar (ABM) dalam Pembelajaran Digital Islamik" ini telah dikendalikan oleh barisan penting dari Telaga Biru Digital termasuk Bahagian Pemasaran dan Komunikasi Korporat, pihak pengurusan kanan, serta tokoh dakwah terkenal, Dato’ Ustaz Zahazan Mohamed yang hadir bagi menyatakan sokongan terhadap agenda pendidikan berteraskan nilai.

Hi-Tea ini diadakan dengan objektif utama untuk memperlihatkan secara langsung bagaimana Ilmoore mampu berfungsi sebagai platform sokongan yang efektif dan mesra pengguna bagi guru-guru di sekolah swasta. Dengan ciri-ciri pembelajaran digital interaktif seperti video pendidikan, flashcard, kuiz, nota ringkas dan latihan berstruktur. Ilmoore diyakini mampu membantu guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih sistematik, menyeronokkan dan berkesan.

Lebih daripada itu, Ilmoore juga memperkenalkan peluang kerjasama strategik melalui program 'affiliate' yang memberi kelebihan kepada sekolah yang ingin menjalin kolaborasi jangka panjang. Inisiatif ini membolehkan pihak sekolah mendapat akses khas kepada kandungan premium, sokongan teknikal, serta insentif promosi yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti sekolah secara menyeluruh.

Kehadiran GASIS dalam program ini menjadi bukti bahawa sekolah-sekolah Islam swasta kini semakin terbuka kepada transformasi pendidikan berasaskan teknologi tanpa mengabaikan nilai dan prinsip Islam. Ilmoore sebagai produk digital keluaran Telaga Biru Digital Sdn. Bhd. dilihat selari dengan aspirasi ini, kerana dibina dengan penekanan terhadap akhlak, adab dan kandungan selaras sukatan Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Secara keseluruhannya, Ilmoore Hi-Tea bersama GASIS 2024 bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam hubungan antara sektor swasta dan institusi pendidikan Islam, malah mencetuskan momentum ke arah pembangunan ekosistem pendidikan digital yang berakar kepada nilai-nilai Islam sejati. Ilmoore bukan sekadar platform digital, tetapi kini menjadi jambatan kepada pembaharuan pendidikan Islamik yang lebih berdaya saing dan inklusif.