Logo

Thursday, May 15, 2025

Kolaborasi Telaga Biru Digital dan UPM Perkasa Pembelajaran Al-Quran Secara Digital

Suharmin Yusuf

22 Januari 2024 - Dalam usaha memperkasakan penyampaian ilmu Islam melalui pendekatan moden, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Telaga Biru Sdn. Bhd. dan Telaga Biru Digital Sdn. Bhd. Hasilnya, tercetus sebuah program inovatif iaitu Kolokium Multimedia Digital, yang menyatukan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan kandungan Al-Quran.

Menurut Pengarah Program Kolokium, Prof. Dr. Rahmita Wirza O.K Rahmat, kolaborasi ini bertujuan untuk memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat sahih melalui aplikasi yang dibangunkan menggunakan teknologi AI. Beliau menyifatkan usaha ini sebagai pemangkin kepada penyebaran ilmu secara lebih menarik, tepat dan mesra pengguna.

Dipetik menerusi keratan akhbar UPM, para pelajar FSKTM berpendapat bahawa pendekatan interaktif dan visual mampu menjadi medium efektif dalam menarik minat generasi muda untuk memahami kandungan Al-Quran. Mereka melihat penggunaan naratif digital, grafik bergambar serta elemen 3D sebagai cara yang lebih kreatif dan mesra pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan remaja. Melalui aplikasi yang dibangunkan, mereka berharap dapat menyampaikan kisah-kisah dalam Al-Quran dengan pendekatan yang menyeronokkan, tanpa mengurangkan nilai ilmu dan pengajaran yang terkandung di dalamnya.

Menerusi kolokium ini, alikasi yang dibangunkan oleh para pelajar juga menghimpunkan kandungan buku terbitan Telaga Biru, yang kemudian dimanifestasikan menerusi teknologi 3D interaktif, iaitu Augmented Reality (AR) dan sokongan audio (voice-over) untuk menambah tarikan visual dan auditori. Hasilnya, kandungan agama yang dulunya disampaikan secara konvensional kini tampil dalam bentuk lebih moden dan berkesan.

Melalui program ini, jelas terbukti bahawa kolaborasi antara institusi pendidikan dan industri mampu membuka jalan baru dalam penerbitan kandungan Islamik yang lebih interaktif dan relevan dengan kehendak zaman.